Sejak kita mengenal apa itu erti oksigen kita terus tanpa henti mengorek dan terus mengorek segala rahsia dunia. Semakin jauh dikorek semakin ramai di antara kita yang memperoleh ilmu yang bakal membawa ke Surga Idaman dan juga sebaliknya. Jalan yang dipilih juga berlainan sekali. Ada yang mempunyai persamaan dan juga ada yang jauh perbezaannya. Ada yang merasa pelik akan pilihan orang lain tanpa menyedari bahawa orang pun pelik dengan pilihannya. Kelakar atau serius itu juga pilihan masing-masing. Nak ketawa atau Masam muka, itu juga pilihan masing-masing.
Di dunia kita dihidangkan dengan pelbagai hidangan kehidupan yang mempunyai pelbagai rasa. Ada yang manis bak madu, pahit bagai garam selautan, masin, payau dan sebagainya. Ada di antara kita yang sudah merasa kepahitan hidangan itu namun masih juga berusaha untuk mendapatkan rasa pahit itu walau telah ditawarkan dengan pelbagai hidangan yang enak yang lain. Semua ini adalah menjurus kepada pilihan kita iaitu mahu atau tidak mahu. Itu Sahaja.
Saya pernah mendengar kata-kata seorang yang amat kukagumi. Beliau telah menyatakan sesuatu yang telah membuka mindaku tentang apakah erti kita menerima pelawaan untuk memberi peluang kepada diri sendiri sebelum kita memberi peluang kepada orang lain. Beliau juga berkata hanya dengan tekad dan disiplin diri maka kita boleh mencapai apa yang kita mahukan. Keinginan yang disertai dengan usaha yang berterusan tanpa mengenal erti kekalahan, terus maju kehadapan akan membolehkan kita mencapai apa yang ingin kita capai.
Beliau sendiri yang dahulunya seorang guru biasa kini telah memiliki segalanya. Ringkasan daripada apa yang dikongsi olehnya semasa kami bersama adalah " Biarlah kita menggenggam dunia untuk kita mencintai akhirat (surga) yang hakiki."
Persoalannya, bolehkah aku menjadi sepertinya? Atau hanya semangat yang sementara sahaja. Doakanlah agar aku berjaya menjadi sepertinya. Semoga kita semua juga akan dapat apa yang kita semua hendak.
Kita sebenarnya tidak sedar bahawa walaupun kita kelihatan mewah dengan rumah dan kereta besar, kita sebenarnya adalah masih compang camping lagi. Banyak lagi hutang yang ingin dilangsaikan. Banyak lagi perkara wajib yang kita tidak tunaikan. Adakah itu mewah namanya?
Rumah bak mahligai indah, kenderaan mewah, adakah kita akan dapat kemewahan yang sama atau lebih baik lagi "di sana" nanti. Bagaimana untuk kita dapatkan semua itu untuk kedua-dua tempat? Bak kata Nabil "Lu Pikir Lah Sendiri!"
Ilmu dan cara untuk mendapatkannya telah disediakan oleh Yang Maha Esa khas untuk kita dapatkannya. Rintangan dan halangan pasti ada, namun boleh juga dikatakan senang jika dibandingkan dengan mereka yang lebih susah pokok pangkalnya Mahu atau tak Mahu. Itu sahaja.
Itulah yang dinamakan Dingin, Hangat, Panas Kehidupan yang kita rasai sekarang. Dan itu adalah pilihan kita. Bukan orang lain.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan